Sunday 2 November 2014

Tarbiah - Hijrahkah Kita?

Hijrahkah Kita?
Ustaz Sharizan Daud at-Turabi

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat lebih 1400 tahun dahulu dilakukan dengan pelbagai cabaran dan ujian. Bukan tugas mudah memperjuangkan Islam ketika itu sehingga kemuliaan Islam mampu diangkat ke tahap tertinggi dan ajaran Islam yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan dengan iman dan ketaatan yang tinggi kepada perintah Allah.

Melalui rancangan Tarbiah, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi mengupas tentang peristiwa hijrah Nabi Muhamad SAW dan sahabat demi menyebarkan syair Islam sehingga Islam berada di tahap kemuliaan yang tertinggi.

Penghijrahan Rasulullah dan para sahabat berlandaskan iman dan semangat jihad yang amat tinggi nilainya. Sebagaimana kita pada hari ini, penghijrahan yang kita lakukan melalui iktibar sirah perpindahan Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah ke Kota Madinah adalah dengan satu azam dan harapan agar kita mendapat keredhaan Allah seterusnya menjadi khalifah yang layak untuk mendapat syurga Allah.

Menyingkap tentang makna hijrah, dari segi bahasa bererti perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi sejarah, hijrah bermaksud perpindahan Nabi dan umat Islam dari kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa ini telah menjadi satu titik peralihan dalam kehidupan Nabi Muhamad SAW dan juga perkembangan agama Islam itu sendiri. Penghijrahan ini dilakukan secara senyap bagi mengelakkan diketahui oleh musyirikin Mekah. Mereka berpindah dalam kumpulan yang kecil secara berperingkat-peringkat. Malah penghijrahan Rasulullah bersama Saidina Abu Bakar  as-Siddiq ke Madinah mempunyai hikmahnya tersendiri. Mereka merupakan kumpulan akhir berhijrah bagi tujuan mengabui mata kaum musyrikin.

Dalam al-Quran, di antara ayat-ayat yang mengandungi kata hijrah ialah surah al-Muddaththir, surah al-Ankabut, surah al-Muzzammil dan an-Nisa; Antara makna hijrah yang terkandung dalam ayat-ayat di atas ialah meninggalkan perbuatan dosa sebagaimana firman Allah surah al-Muddathir ayat 5 yang Maksudnya “Dan Segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi”.

Secara umumnya konsep penghijrahan adalah sesuatu yang kurang baik kepada yang lebih baik, manakala perkara yang baik kepada lebih baik lagi. Dalam kehidupan ini kita disaran untuk selalu berdoa agar setiap hari kita melakukan anjakan untuk menuju kearah perbuatan yang baik sebagaimana ungkapan kata-kata Saidina Umar al-khatab yang bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini”. Petikan ungkapan kata-kata ini memberi peringatan kepada kita bahawa hendaklah sentiasa memperbaiki hari yang kita jalani agar selalu ada peningkatan terutama dalam hubungan kita dengan Allah SWT.

Apabila kita berbicara tentang soal penghijrahan, ianya tidak akan lari dari konsep perjuangan itu sendiri. Perjuangan dalam erti kata bermujahadah membebaskan diri dari segala perbuatan keji yang pernah menyelimuti kehidupan kita. Penghijrahan harus hadir bersama semangat yang tinggi untuk keluar dari segala perkara buruk yang membelenggu kehidupan kita selama ini. Contohnya jika sebelum ini kita gemar mengumpat, bersangka buruk, mencuri, menerima rasuah dan pelbagai sifat mazmudah lain, harus ada dalam diri tekad dan ikhtiar untuk tidak lagi bergelumang dengan perbuatan yang keji itu.

Semangat hijrah tidak hanya pada bibir atau lisan, tetapi mesti disertakan dengan perbuatan kearah itu. Usaha untuk memperbaiki diri mesti disertakan dengan tindakan yang bersungguh-sungguh seperti menjuahkan diri dari persekitaran yang boleh membawa kita kepada perbuatan yang tidak baik, sebaliknya mesti mendekatkan diri dengan cara hidup yang mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Orang yang melakukan penghijrahan mempunyai karektor yang terpancar jelas melalui tidak tanduk dan tutur katanya. Penghijrahan kita pada hari ini meliputi pelbagai aspek dari sudut fizikal dan spiritual. Sekiranya tidak mampu berhijrah dalam konteks yang lebih besar seperti berpindah tempat tinggal atau organisasi pekerjaan, kita disaran untuk berhijrah dengan perkara yang mudah dan kecil dahulu sebagai contoh menjaga tutur kata bagi yang bermulut celupar. Solat lima waktu bagi yang solatnya tidak cukup, menutup aurat bagi yang belum lagi menutup aurat. Ini kerana sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, sesuatu yang dilakukan sedikit demi sedikit secara berterusan adalah lebih baik dari melakukan perkara secara berlebihan tetapi tidak istiqamah.

Sementara itu bersempena dengan mengenang peristiwa hijrah dalam Kalendar Islam ini juga, Ustaz Sharizan mengajak umat Islam agar membuat perubahan diri serta menanam azam yang teguh untuk melakukan paradigma kehidupan yang diredhai Allah.

Memetik Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak”. Dengan kata lain, dalam menjalani kehidupan, sentiasa bermuhasabah diri satu tindakan bijak kerana ia akan mendorong kita untuk memperbaiki diri. Menghisab diri sendiri dengan tujuan untuk mengubah kea rah yang lebih baik merupakan satu persiapan bagi menentukan kejayaan pada masa akan datang.

Menginjak ke tahun baru, bermakna kita telah melalui putaran setahun kehidupan dan menandakan kita telah menginjak kepada satu usia yang kian meningkat. Seiring dengan peningkatan usia, sisa-sisa kehidupan kita di dunia ini juga semakin berkurang. Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Sesiapa yang menghabiskan masa hariannya tanpa ada hak yang dilaksanakannya, tanpa ada kewajipan ditunaikan, tanpa ada kemuliaan dibinanya, tanpa kepujian yang diperoleh, tanpa ada kebajikan dilakukannya, tanpa ada ilmu dipetiknya, maka sesungguhnya dia sudah menderhakai masa hariannya itu.”Oleh itu, manfaatkan masa dan waktu kita dengan mengambil ibrah dari hijrah bagi kita memaknakan hidup ini dengan imal ibadah yang akan meningkatkan amal timbangan pahala kita di akhirat kelak.

Hakikatnya, jika tidak ada keberanian dan usaha gigih untuk berubah, tiada siapa yang mampu menghalang kita untuk membuat perubahan diri waima kita perlu sehingga ke peringkat berpindah randah sekalipun. Nabi Muhammad  SAW dan pengikutnya mencetuskan kecemerlangan hijrah yang akhirnya berjaya meletakkan Islam sebagai pencetus kepada kegemilangan manusia. Peristiwa hijrah 1400 tahun lalu, merupakan ibrah yang mengandungi seribu satu hikmah bahawa penghijrahan itu sendiri sebenarnya memerlukan pengorbanan, semangat juang yang tinggi, menggadai harta benda malah tangisan air mata hanya kerana satu tekad, ia dilakukan demi menegakkan ajaran Islam agar sentiasa berada di puncak keimanan hati kita.

Apa yang amat penting bagi kita adalah sentiasa mengambil inisiatif untuk mengaplikasikan konsep hijrah untuk membina kebaikan dan membina sebanyak mungkin ladang pahala buat diri kita dan umat Islam keseluruhannya. Penghijrahan atau perubahan yang kita lakukan meliputi pelbagai aspek kehidupan dengan tujuan untuk menjadi insan kamil dan diredhai Allah dunia dan akhirat.

Kita juga hendaklah sentiasa berusaha untuk memahami dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar dalam kehidupan kita, selain sentiasa membersih dan menyucikan hati agar terpancar sinar kebenaran dalam setiap perbuatan . Hati yang bersih akan memimpin manusia ke jalan yang lurus dan menegahnya daripada terbelenggu dengan hawa nafsu untuk berbuat kezaliman, kecuaian dan permusuhan.

Sebagaimana petikan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, di mana kamu semua tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul’. (Hadith Riwayat Imam Malik)

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar 
Berita Harian edisi 31 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment