Monday 12 January 2015

Sifat Tawadhuk

Menurut takrif kamus Bahasa Melayu, tawaduk membawa pengertian rendah diri, tidak angkuh dan patuh. Bukan perkara yang mudah untuk memandang ke bawah kala berada di atas dengan penuh rasa patuh dan taat selaku hamba. Usrah Nurani yang bersiaran setiap Jumaat jam 5.15 petang berkongsikan ilmu memupuk sifat tawaduk bersama Ustaz Basir Bin Mohamed.
Allah berfirman mafhumnya, “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah Al-Israa’ ayat 37).
Sejauhmana penjelajahan atau setinggi mana pendakian dengan segala teknologi yang dimiliki tiada satu pun yang membuktikan semua sudut di atas muka bumi ini telah dicapai, telah diketahui dan telah dirungkai segala-galanya. Menerusi kebijaksanaan Allah SWT, memdidik kita untuk melihat bumi yang didiami dan diambil manfaat darinya pun masih belum mampu diterjemah dan dikaji setiap satu pun daripada penciptaanNya. Itulah cara terbaik untuk menjaga hati dari sifat lawan bagi tawaduk iaitu takabbur.

Allah SWT mendidik Rasulullah SAW yang merupakan hamba yang paling tawaduk menerusi firmanNya yang bermaksud, “Rendahkan sayapmu (rendahkan martabat dan jangan sombong) kepada orang-orang yang beriman yang mengikutmu.” Manusia yang punya sifat merendah diri di dalam hatinya tidak akan menampakkan kehebatan yang pada dirinya malah sentiasa akan menampakkan orang lain yang bersamanya sangat memberi manfaat dan menambahkan keimanan buat dirinya.
Allah juga mengajar tentang tawaduk menerusi akhlak para ulama dalam urusan nasihat. Mereka tidak melihat kepada  individu yang bertutur tetapi mendengar butir yang diperkatakan. Para ulama ini akan menerima dan menyematkan setiap nasihat yang hadir bukan berdasarkan status pembicara tetapi bahan yang dibicarakan yang membangkit dan menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Ustaz Basir menerusi Usrah Nurani menceritakan kisah Imam Abu Hanifah yang terkenal mazhabnya iaitu Mazhab Hanafi dan sangat alim pada zamannya. Pada suatu hari Imam Abu Hanifah berjalan di tepi sebatang parit dan tiba-tiba terserempak dengan seorang kanak-kanak yang sedang berjalan dengan memakai kasut terompah kayu. Beliau menegur budak tersebut, “Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayumu itu. Bimbang engkau akan tergelincir nanti”.
Budak tersebut mengucapkan terima kasih di atas perhatian al-Imam kepadanya lalu bertanya, “Wahai Tuan, siapakah nama tuan?”
Imam Abu Hanifah lantas menjawab, “Namaku Nu’man”.
“Oh, rupa-rupanya tuanlah yang digelar al-Imam al-A’dzam (Imam Yang Sangat Hebat) itu?” lalu dijawab oleh Imam Abu Hanifah, “Bukan aku yang meletakkan gelaran tersebut. Namun orang ramai yang bersangka baik denganku telah meletakkannya”.
Seraya budak itu pun berkata, “Wahai Imam, apa yang telah engkau tegurkan kepadaku tadi tentang berjaga-jaga agar aku tidak tergelincir masuk ke dalam parit sangatlah baik, Cuma izinkan aku memperkatakan sesuatu kepadamu. Jika aku yang tergelincir, sekurang-kurangnya aku hanya akan masuk ke dalam parit tetapi jikalau Tuan Imam tergelinci,  bukan masuk ke dalam parit tetapi ke dalam neraka Allah. Usahlah engkau sampai tergelincir ke dalam api neraka disebabkan gelaranmu itu, aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekalipun hanya di dunia semata-mata. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah SWT lantaran angkuh dan berbangga-bangga, Maka berhati-hatilah wahai Tuan Imam”.
Menangis Imam Abu Hanifah mendengar nasihat daripada kanak-kanak kecil tersebut. Hebatnya akhlak dan sifat tawaduk Imam Abu Hanifah, sehinggakan nasihat daripada seorang budak pun di ambil kira kerana ianya meningkatkan rasa taqwa ke jalan Allah SWT.
Lawan kepada sifat tawaduk adalah takabbur. Digambarkan manusia yang dihinggapi takabbur seumpama seseorang yang berdiri di atas bukit atau di tempat yang tinggi seterusnya melihat kepada orang yang di bawah, semuanya akan kelihatan kecil dan kerdil. Hamba ciptaan Allah pertama yang miliki sifat takabbur ini adalah Iblis. Iblis menjadi takabbur apabila melihat satu lagi hamba Allah yang penciptaannya tidak sehebat dirinya tetapi diperintahkan untuk dia sujud pada ciptaan itu. Iblis menjadi sangat takabbur saat itu kerana merasakan dirinya lebih hebat daripada hamba Allah yang lain Begitu takabbur dan angkuhnya Iblis peroleh kemurkaan Allah SWT bukan kerana syirikkan Allah menjadikannya makhluk yang paling dilaknat Allah.
Dinyatakan juga sebelum  roh ditiupkan ke dalam jasad nabi Allah Adam, Iblis telah memijak jasad tersebut dan berkata, “Telah aku selongkar dan lalu di segenap jasad ini dan tidak kelihatan sebarang kehebatan yang melebihiku”.
Sebab itu, tatkala Allah berfirman kepada malaikat: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah ayat 30). Allah mengetahui di sebalik penciptaan khalifah yang bakal diciptaNya, banyak perkara di luar pengetahuan malaikat. Antaranya berkenaan sifat takabbur dan hasad Iblis. Moga di jauhkan dengan sifat takabbur ini yang memperlihatkan kehebatan diri dengan memandang rendah orang lain.
Terdapat beberapa cara untuk audit diri samaada miliki sifat takabbur atau tidak. Perumpamaan burung merak menggambarkan manusia yang ada sifat takabbur dan berbangga diri. Burung merak hanya akan mengembangkan ekornya yang cantik pada ketika ada orang melihatnya dan menguncup tatkala tiada orang melihat. Berbanding falsafah pokok semalu, apabila disentuh akan menguncup dan merendahkan diri seolah tiada di dalam diari kehidupan.
Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya, “Tidak masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan takabur walaupun sebesar zarah, dan tidak masuk neraka seseorang yang ada di dalam hatinya iman walaupun sebesar zarah.” (Hadis Riwayat Muslim). Itu ancaman bagi yang takabbur. Oleh itu hindarilah diri daripada sifat ini, sifat yang ingin perhatian orang lain, dahagakan pujian, sebutan dan sanjungan orang.  Secantiknya, ambillah resam Rasulullah SAW dengan sikap suka memberi salam sehingga para sahabat berlumba untuk mendahului memberi salam kepada baginda. Sebaliknya pemilik hati takabbur akan ternanti-nanti salam diucapkan padanya terlebih dahulu. Juga seperti Saidina Umar al-Khatab yang berjalan laju semata-mata ingin mengelak daripada bertembung dengan orang yang akan memujinya. Semoga dapat kita ditinggalkan sifat takabbur, biar nama tidak meniti di lidah makhluk bumi tetapi di sebut-sebut oleh penduduk langit asbab rendah diri ini.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Disember 2014

No comments:

Post a Comment