Monday 12 January 2015

Rahsia Meninggalkan Perkara Haram

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan Yang Maha Pengasih yang memerintahkan hamba-hambaNya untuk mencari rezeki yang halal lagi berkat di dalamnya. Junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga amat menekan kepentingan mencari rezeki yang halal sesudah menunaikan ibadah yang fardu. Hal ini, menggambarkan kepada kita bahawa rezeki yang halal bukan sahaja baik daripada pandangan Islam. Malah rezeki yang halal juga akan mempengaruhi peribadi seseorang.
Rezeki haram yang kita peroleh dan gunakan untuk diri kita, isteri serta anak-anak akan mengakibatkan cenderung untuk melakukan kejahatan dan penderhakaan. Justeru itulah pentingkanya mencari rezeki yang halal bagi kebaikan di dunia yang menghadirkan ketenangan jiwa dan akhlak malah keselamatan dari azab di akhirat.


Rancangan Pesona D’Zahra bersama Ustaz Muhamad Abdullah Aminyang bersiaran setiap Isnin jam 10.15 pagi, telah beberapa siri kebelakangan ini mengupas berkenaan pentingnya mencari, membelanjakan harta halal, serta hak-hak berkaitan harta yang perlu ditunaikan oleh seseorang yang berhati-hati dan amat takut dalam urusan agamanya. Ia berdasarkan peringatan hadis “Tidak akan bergeser tapak kaki seorang hamba pada hari Kiamat, sampai ia ditanya tentang empat perkara. (Yaitu): tentang umurnya untuk apa ia habiskan, tentang jasadnya untuk apa ia gunakan, tentang hartanya darimana ia mendapatkannya dan kemanakah ia meletakkannya, dan tentang ilmunya, apakah yang telah ia amalkan”. [Hadis Riwayat At Tirmidzi.
Ini kerana Rasulullah SAW juga telah menyampaikan ancaman terhadap orang-orang yang memakan harta yang haram. Antaranya Rasulullah SAW telah memberitahu bahawa akan datang umat di akhir zaman bersikap acuh tak acuh dalam urusan mencari rezeki, mereka tidak akan bertanya dari mana sumbernya juga tidak mencari dari mana datangnya. Daripada Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, mereka tidak peduli dari mana dia ambil rezekinya, tidak peduli halalkah atau haram rezeki yang diterimanya. Sabda baginda lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya tidak akan masuk suyurga daging yang tumbuh dari harta yang haram. Neraka lebih utama untuknya“. [Hadis Riwayat Ahmad].
Orang yang benar-benar beriman akan menjaga sumber rezekinya dengan berhati-hati, apa lagi dengan yang haram, yang syubhat pun dijauhi sedaya mungkin. Bahkan orang sangat hampir dengan Allah, yang halal itu pun masih ditangani dengan berhati-hati kerana bimbang akan membazir, menimbulkan fitnah atau perkara yang sia-sia.
Orang-orang soleh dahulu sangat teliti dalam memerhatikan sesuatu yang masuk kedalam perut mereka. Ia kerana mereka menyedari hasil harta yang tidak dipedulikan halal haramnya akan menyebabkan isteri, anak dan keturunannya akan turut menerima akibatnya. Mulai dari si ibu yang memakan makanan yang haram akan memindahkan zat haram ini ke dalam janin didalam perutnya. Setelah lahir, anak ini diberikan makanan dari sumber yang haram menyebabkan kekotoran yang menyelubungi jiwa anak ini. Apabila melalui usia menuntut ilmu dapat dilihat kesan keatas anak seperti culas dalam ibadah mengaji Qur’an dan zikir, solat dan ibadah lain. Dengan demikian wajiblah kita perhatikan bagaimana cara kita mendapatkan rezeki dan makanan apa yang masuk ke perut kita. Demikian juga apa yang kita berikan kepada isteri dan anak-anak kita.

Walaubagaimanapun dalam kita bermuhasabah dan kita sedari ada kesalahan-kesalahan berkaitan mencari dan membelanjakan harta yang haram, yang mungkin berlaku disebabkan desakan hidup atau kejahilan, ketahuilah pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang tersilap langkah dalam kehidupan. Hati yang mati akibat kelalaian dan dosa juga boleh dihidupkan dengan usaha kearah kebaikan. Justeru minggu ini Ustaz Muhamad menerangkan tentang 5 Rahsia utk meninggalkan rezeki haram bagi memberi kekuatan untuk mereka yang berusaha menghidupkan hati yang lalai.
Pertama beliau mengingatkan agar Jangan membiarkan diri dalam kejahilan. Lengkapkan diri denhan ilmu untuk tahu membezakan yang mana haram dan mana halal dalam urusan pencarian dan perbelajaan harta. Sekiranya ada urusan tertentu yang tidak jelas dari sudut hukum berkenaan sesuatu harta, berusahalah memohon bantuan fatwa dan pendapat pihak berkuasa yg arif dalam bidangnya seperti Jakim, MAIS, Majlis Fatwa Kebangsaan dan para ustaz-ustazah yang pakar atau orang yang arif dalam bidangnya.
Yang kedua elakkan terjadinya Kurang Kekuatan Hati. Dunia ini sememangnya dihiasi dengan keuntungan yang sementara dan mereka yang mencintai dunia akan mudah terpengaruh dengan khayalan kekayaan melalui jalan haram yang dibisikkan syaitan. Syaitan akan menghiasi maksiat supaya kelihatan cantik dan indah.Seseorang itu akan mudah terpedaya akibat kepada kejahilan dan kurangnya kekuatan hati dan menyebabkan seseorang itu suka kepada perkara haram seperti perjudian cara jackpot, menikam nombor ekor dan sebagainya. Ini dapat dielakkan dengan sentiasa mengingatkan diri melalui tarbiah diri. Selain mendengar ilmu cara lain untuk mendapat tarbiah adalah dengan berkawan dengan orang-orang alim. Berusahalan mendekati mereka yang berilmu agar dapat mempeoleh kebaikan dari akhlak dan ilmu yang dimiliki.
Seterusnya elak terlalu ghairah kepada dunia. Merujuk Surah At Takathur dalam ayat pertama dan keduaAllah SWT berfirman “ Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur. Ibn Kathir berkata dalam penjelasan ayat ini: Kamu telah dilekakan dan disibukkan oleh kecintaan terhadap kemewahan kehidupan dunia daripada membuat persediaan untuk menghadapi alam akhirat. Kealpaan kamu itu begitu ketara sehingga kamu diterpa oleh kematian secara mengejut dan di luar jangkaan kamu, lalu kamu datang mengunjungi kubur dan tinggal di situ dalam jangka waktu yang ditentukan.
Ghairah terhadap dunia akan menyebabkan seseorang itu menjadi rakus dan merasa tidak pernah puas dengan kesenangan dunia. Bagi menjauhi sifat ini, jadikanlah zuhud sebagai ubatnya. Zuhud beerti menjadikan dunia dan kesenangan didalamnya hanya sekadar di tangan bukan di hati. Mencari rezeki dan harta diletakkan sasarannya hanya untuk mencari keredhaan Allah SWT melalui amalan memperoleh dan membelanjakannya.
Yang keempat adalah mengelak berbelanja melebihi keperluan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan adalah makhluk yang kufur kepada Tuhan-Nya.” (Surah al-Israa’, ayat 26-27)
Ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa jangan sesekali membelanjakan harta secara membazir atau boros kepada sesuatu jalan yang tidak membawa faedah apatah lagi hal yang melibatkan hutang-piutang. Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing. Hal tersebut membawa kepada bebanan hutang akibat berbelanja secara berlebihan. Dan sesugguhnya kebanyakan mereka yang berhutang menjerumuskan diri kearah amalan riba yang dibenci Allah SWT.
Islam mengharamkan riba dan menyatakan riba sebagai kejahatan terbesar dan dosa terberat yang dilakukan oleh manusia. Rasulullah S.A.W. juga melaknat setiap orang yang terlibat dalam riba ini. Firman Allah Taala bermaksud:Maka jika kamu tidak mengejakan (meninggalkan riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan rasulNya menyatakan perang terhadap kalian. (Surah al-Baqarah: Ayat 279).
Dari Jabir R.A. berkata bermaksud: Rasulullah S.A.W. telah melaknat pemakan riba, orang yang memberikan riba, orang yang menjadi penulisnya dan saksi-saksinya. Kemudian Rasulullah S.A.W. mengatakan: Mereka semua adalah sama. (Riwayat Muslim, Nasai, Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Hibban). Hanya dengan sifat qanaah iaitu merasa cukup dan tidak tamak akan kemewahan dunia akan mengelakkan hutang dan menghindarkan riba.
Kemudian yang terakhir dalam rahsia meninggalkan harta haram adalah Jangan berbelanja dengan membazir. Membazir adalah apabila seseorang itu membeli barang yang bukan keperluan dalam dirinya. Selain itu juga, membeli sesuatu barang hanya kerana harganya murah tetapi tidak digunakan juga diangap membazir. Umum mengetahui bahawa membazir itu saudara syaitan dan akan membawa kepada mudarat bagi sesiapa yang melakukannya.Cara bagi mengubah tabiat membazir adalah dengan memperbanyakkan berzakat dan bersedekah dan infaq. Bersedekahlah kepada yang meminta dan yang tidak meminta kepada kita kerana sesungguhnya ganjaran mereka yang bersedekah ikhlas kerana Allah menda[at ganjaran yang tinggi disisinya.
Kesimpulannya kepada perbincangan berminggu-minggu berkenaan harta dalam rancangan Pesona DZahra adalah supaya kita memahami tentang perkara-perkara yag haram agar dapat menghindarkan diri dari terjerumus kedalamnya dan mengundang kemurkaan Allah SWT.
Yang haram itu jika dilakukan akan memberi kesan kepada kita didunia dan tentunya tidak terlepas dari azab di akhirat. Dan Ustaz mengingatkan bahawa sesungguhnya hati kita ditempa dengan makanan. Maka jauhilah dari makan dari sumber yang haram didunia yang sementara ini dalam usaha kita semua memperoleh syurga Allah SWT yang penuh kemewahan kekal abadi.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Disember 2014

1 comment:

  1. Play Casinos For Real Money - JTM Hub
    If you're looking to bet on live 전라남도 출장마사지 casino games, check 구리 출장샵 out the JTM Hub. The 포천 출장마사지 top online 경상북도 출장샵 casino reviews 당진 출장안마 in Las Vegas, NV!

    ReplyDelete