Sunday 2 November 2014

Islam itu Indah - Sakit Hati & Rawatannya

Sakit Hati & Rawatannya
- Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Allah SWT berfirman Mafhumnya, “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Zumar ayat 22). Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Memikir peri pentingnya punya hati yang hidup Ustaz Pahrol Mohd Juoi menyambung kembali perkongsian tentang hati-hati menjaga hati menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi di IKIMfm. Minggu lepas Ustaz Pahrol telah memberi cetusan yang cukup baik dan tapak lonjak untuk sama-sama kita kenali hati dan merawat hati yang sakit sebelum ianya berstatus mati.

Hati kita adalah enjin dan kenderaan dalam kehidupan. Jika peralatan, kenderaan, tempat kediaman kita rosak, lumpuh perjalanan hidup. Bayangkan jika yang jauh lebih penting iaitu hati, apakah akan terjadi jika hati itu rosak?

Kita gunakan hati kita untuk mengawal tindakan kita sehari-hari. Jika ingin dibuat perbandingan antara hati kita dengan enjin kereta ianya terlalu jauh berbeza. Berbanding enjin kereta, hati kita lebih letih disebabkan penggunaannya yang melangkaui bayangan kita. Ia digunakan untuk merasa, melihat, merenung, mempertimbang serta diasak dengan ujian-ujian dalam kehidupan. Kemarahan, kekecewaan, kesedihan, kegembiraan, keterujaan semuanya kita hadapi dengan hati kita.

Pandangan Islam menjangkaui yang tersurat, bukan sekadar jasad lahir tempat jatuhnya pandangan manusia, malah pada yang maknawi di tempat jatuhnya pandangan Allah SWT iaitu hati. Bayangkan jika hati kita sakit. Di manakah klinik hati yang harus dikunjungi? Walaupun ia tidak popular tetapi kepentingannya sangat tinggi kerana implikasi daripada hati yang sihat mahupun hati yang sakit sangat besar dalam masyarakat kita.

Terdapat 3 peringkat indikator bagi hati iaitu hati yang sihat, hati yang sakit dan hati yang terkunci yang dinamakan hati yang mati. Pepatah ada menyatakan, sudah terantuk baru tengadah, usah sampai hati dikategori sebagai hati yang mati baru terkial-kial mencari penawar dan kelam-kabut melawat pakar.

Sesungguhnya tiada manusia yang bebas daripada dosa.  Selain daripada Allah SWT, kitalah lebih arif tentang diri sebenar kita. Perhatikan nilaian hati kita. Pertama jika kita sering rasa bersalah, rasa resah dan gelisah dengan dosa, rasa tidak betah dan tidak tega melakukan dosa tetapi nafsu membenarkannya. Itu petanda awal hati mula diterjah dengan dosa. Syukurlah kerana itu juga merupakan petanda hati kita masih punya nyawa.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya bahawa, “sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa”. Jika tuntunan nafsu dalam melakukan dosa berlarutan sehingga lali dengan dosa, rasa bersalah sudah tiada, rasa biasa pula ada dan bermaharajalela. Pada waktu itu kita telah membuat dosa dengan perasaan biasa, seronok dan nikmat dengan dosa. Peringkat seterusnya apabila dosa telah sebati, titik hitam telah memenuhi permukaannya.  Tanpa segan silu terang-terangan melakukan dosa dan kemaksiatan. Kalau sebelum ini menangis melakukan dosa tetapi peringkat ini kita bisa ketawa dengannya. Ini musibah petanda hati semakin parah tatkala dosa jauh dari resah.

Keadaan paling kritikal adalah ketika dosa sudah sebati malah pada peringkat ini dosa itu dijadikan perjuangan. Bila dosa menjadi serasi dalam diri dan tanpa disedari kita juga bertindak mempromosi, menggerak dan mempelopor dosa untuk melahirkan lebih ramai lagi pendosa. Kebenaran dilihat sebagai musuh, kebaikan terlihat sebagai kejahatan. Rupa-rupanya hati kita telah menjadi hati yang terbalik dan tertutup. Hati mereka terbalik sebagaimana tertutup dan terbaliknya hati munafik dan kafir. Hati terbalik seumpama cermin terbalik yang tidak memancarkan cahayanya lagi

Dalam keempat-empat peringkat rasa hati yang sakit ini sebaiknya kita carikan penawar pada ketika berada pada peringkat kita rasa biasa dan rasa seronok dengan dosa. Disarankan untuk cepat-cepat mendapatkan penawar dan tidak bertangguh bak pesan Imam al-Ghazali, “kejahatan hawa nafsu yang merosakkan hati kita umpama akar pokok yang tumbuh. Jika akar pokok yang baru tumbuh masih mudah untuk mencabutnya. Tetapi kalau kita biarkan terus-terusan membesar, akarnya akan terus menunjang ke bawah dan menyukarkan proses mencabutnya.  Sebab itu apabila dapat merasakan hati baru ditimpa penyakit, cepat-cepatlah dapatkan  penawarnya agar akar kejahatan dapat dicabut seawalnya, dikhuatiri jika lambat akan berakar umbi menusuk ke bumi”.

Pada pertemuan yang lalu, Ustaz Pahrol juga telah berkongsi tanda-tanda terhadap hati yang mati iaitu rasa lemah dan rasa malas untuk kebaikan.  Selain itu akan tumpul daya fikir. Kita jadi beku dan kaku kerana akal adalah pelita bagi hati. Apabila sakit hinggap di hati, akal akan kurang berfungsi. Akal menjadi kurang peka dengan kebenaran, tiada penggerak untuk mencetuskan kebaikan dan lidah menjadi kelu dalam menyatakan kebaikan dan keindahan. Pemilik hati yang sihat mudah untuk mendapatkan idea yang kretif dan bernas wahemah seorang ibu juga tidak akan mudah buntu atau kering idea untuk bercakap dan memberi nasihat kepada anak-anak dan keluarga. Meminjam kata-kata bijak pandai,“ Dunia tidak dibentuk oleh atom dan molikul tetapi dunia ini  dibentuk oleh cerita-cerita yang baik”. Jadi mana mungkin terhasil cerita-cerita yang baik tanpa miliki hati yang sihat untuk membawa kepada kebaikan.

Tidak terhenti di situ, pemilik hati yang mati fikirannya menjadi lemah dan akan ditambah emosi yang menjadi tumpul. Orang yang hatinya sakit akan kematian rasa. Emosi terbentuk tidak lagi sensitif.

Selagi kita tidak mengalah, selagi itu kita tidak kalah. Oleh itu, orakkan langkah ambil peluang perbaiki keadaan. Penting untuk memastikan makanan yang diambil halal lagi baik kerana hati itu dibentuk oleh pemakanan. Usah alpa dalam hidup ini untuk membaca al-Quran dan bacaan yang paling baik adalah di dalam solat.  Gilap dengan aktiviti hati melalui zikir kerana ia umpama air bagi ikan, tanpa air ikan kan mati; tanpa zikir hati juga menerima nasib yang serupa. Kurangkan berbicara; bicara bila perlu untuk kebaikan dan selebihnya adalah diam. Sedikit bicara dan diam yang banyak akan menghidupkan hati kita. 

Akhirnya, berhati-hati menjaga hati.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar 
Berita Harian edisi 29 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment