Tuesday 26 April 2016

Tauladan Melalui Kisah Kaum Yasin

Menilai usaha dakwah dan cara melaksanakan perbuatan baik yang disebut dengan ‘amar makruf nahi munkar’ itu bukanlah tugas para nabi dan Rasul-Rasul Allah SWT semata-mata. Tetapi, lebih daripada itu, menjadi kewajipan semua umat Islam yang menyatakan beriman kepada Allah dan beriman kepada kitab yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW melalui al-Quran.
Begitulah sandaran awal yang dikupas oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah pada minggu lalu. Kisah kaum Yasin yang seringkali dibaca setiap minggu itu bukanlah satu kisah biasa, tetapi teladan penting mengenalkan diri manusia (hamba) kepada tanggungjawab sebenar sebagai seorang khalifah di muka bumi.
Masihkah kita ingat lagi, peristiwa tiga orang Rasul yang diceritakan oleh Allah dalam Surah Yasin menyeru untuk beriman tetapi tidak dihiraukan?

Terfikirkah kita bagaimana tiga orang berstatus Rasul tidak mampu memberi apa-apa perubahan dan menyebabkan keras hati mereka (kaum Yasin). Walaupun demikian, tatkala datangnya seorang lelaki dari hujung bandar memberikan nasihat usaha dakwah ini datang dalam keadaan yang luar biasa.
Sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam Surah Yasin ayat 20 yang bermaksud, “Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu”.
Lalu dia pun menyatakan lagi, “Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk”. (Surah Yasin ayat 21)
Para mufassirun menyatakan bahawa lelaki yang datang dari hujung bandar itu adalah seorang tukang kayu yang bernama Habib An-Najar. Imam Qurtubi pula menyatakan bahawa, beliau adalah seorang tukang kayu yang menukang berhala. Sementara itu, ada juga ulama yang menyatakan lelaki itu mempunyai penyakit kusta.
Perihal datangnya seorang lelaki ini memberi gambaran bahawa keterbatasan usaha berdakwah bukan hanya pada para Nabi dan Rasul. Malah, tidak dinyatakan di dalam kisah ini, pada zaman nabi manakah terjadi peristiwa ini. Gambaran ini menunjukkan bahawa Allah mengekalkan sifat universal kisah kaum Yasin ini dan sesuai pada setiap waktu dan zaman.
Kemudian lelaki itu pula berkata, “Dan apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya: “Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan kepada-Nya lah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? (Surah Yasin 22)
Allah berfirman lagi dalam ayat ke-23 yang bermaksud, “Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut,kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
Seterusnya lelaki itu menyatakan lagi melalui sandaran kata ganti diri pertama, “Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku).” (Surah Yasin, ayat 24 dan 25)
Dakwah yang hebat diakui dengan penggunaan uslub (kaedah penyampaian) yang hebat. Dalam beberapa ayat di atas, kita telah melihat lelaki itu apabila telah selamat sampai daripada bandar yang jauh, dia telah menggunakan metod pujuk rayu dan sandaran yang digunakanlah adalah ‘aku’ dan ‘saya’.
Sheikh Mutawalli Syaarawi menyatakan bahawa, lelaki tersebut seolah-olah bercakap kepada diri sendiri dan bukan kepada orang lain kerana menggunakan kata ganti diri pertama. Dalam hal sebegini, menggunakan uslub ‘saya’ yang lebih merujuk kepada diri sendiri membawa kesan yang lebih maksima berbanding mensasarkan kepada ‘orang lain’.
Dalam tugas yang dilakukan untuk menyeru ke arah kebaikan, para pendakwah sewajarnya meneliti kekuatan diri sendiri dan menjelaskan kelemahan diri sendiri tanpa merujuk orang lain.
Firman Allah lagi dalam ayat ke-26 dan 27 yang bermaksud, “(Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Dia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -“Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.”
Dr Mustafha Masyhur dalam kitab Fiqh Dakwah menyatakan bahawa, seorang daie harus berani menyatakan kebenaran walaupun pahit tetapi harus dilakukan dengan cara yang tepat dan betul serta menarik.
Justeru, lelaki yang diceritakan dalam kisah ini mempunyai ciri penting, iaitu tidak meletakkan tanggungjawab dakwah hanya kepada para rasul dan para Nabi semata-mata. Malah, lelaki itu tidak memberi alasan dan menjalankan usaha dakwah tanpa berfikir jawatan yang disandar dan siapakah dia.
Kisah kaum Yasin meletakkan satu matlamat sebagaimana Rasulullah menyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat.”
Justeru, merendahkan diri melalui sifat keakuan itu menjadi tauladan utama sebagaimana yang diceritakan pada episod kali ini.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Januari 2015

No comments:

Post a Comment