Tuesday 26 April 2016

Hikmah Pada Ujian

Setiap hamba Allah itu tidak dibiarkan hidup didunia ini tanpa diuji. Persepsi ujian itu bala sebagai hukuman semata-mata perlu diperbetulkan. Dalam perkongsian intipati Rancangan Pesona D’zahra di Ikimfm kali ini ada tujuh perkara dalam melihat ujian atau bencana, yang disampaikan Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin.
Yang pertama, walaupun ada banyak tanda hari kiamat semakin menghampiri tetapi ada dua tanda yang banyak disebutkan sebagai tanda hari kiamat iaitu air laut mebuak-buak dan air laut terbakar. Justeru ketika didatangi musibah alam yang hebat, ambil iktibar dan muhasabah diri daripada ujian yang datang dalam hidup kita mahupun yang menimpa orang lain. Perbetulkan persepsi memandang sesuatu ujian itu kerana sesungguhnya musibah dan bala yang melanda juga salah satu tanda menghampiri kiamat. Lalu tanyalah diri kita apakah persediaan yang dipersiapkan untuk menghadapi hari kiamat. Elakkan menghakimi orang lain atas ujian yang dihadapi mereka sebaliknya hulurkanlah bantuan dan tunjukkan rasa simpati kepada mangsa bencana.
Yang kedua perlu kita renungi sesungguhnya setiap bala, bencana dan musibah yang melanda itu adalah sebagai bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Penghayatan ini hanya akan dapat dilakukan dengan pembacaan dan memahami makna ayat yang terkandung dalam Al Quran. Allah SWT menceritakan kekuasannya di dalam Al Quran tetapi manusia tidak memahami dan tidak merenunginya. Maka, Allah menghantar ujian untuk membuktikan kekuasaanNya supaya manusia faham dan sedar.  Lihat keadaan tsunami aceh masjid selamat.
Namun walaupun diuji, Allah SWT tidak akan membiarkan kita bersendirian di dalam menghadapi sesuatu musibah. Setiap musibah yang melanda  itu akan diberikan jalan keluar bagi hamba-hambaNya yang bertaqwa dan bertaubat. Allah SWT menghantarkan bantuan-bantuan menghadapi kesusahan dan memberi kemudahan dalam pelbagai cara.
Yang ketiga, bencana dan musibah itu didatangkan kerana Allah ingin menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik. Bukakanlah hati dan fikiran untuk melihat bencana itu dari sudut positif. Contohnya, ada yang mungkin kehilangan rumah, insyaAllah akan mendapat rumah baru, kelengkapan baru dan sebagainya. Sesungguhnya janji Allah pasti benar. Percayalah selagi kita bersangka baik dengan ujianNya dan sifat Maha Pengasih Allah SWT, semua usaha untuk kembali bangkit sediakala akan dipermudahkan.
Yang seterusnya apabila didatangi ujian, ketahuilah Allah SWT hendak meninggikan darjat mereka yang diuji. Para Rasul dan Nabi adalah antara yang paling berat diuji. Nabi SAW juga bersabda seberat-berat ujian adalah kepada para Nabi. Dan setiap ujian itu berdasarkan kepada tahap keimanan seseorang. Manusia itu lahir dengan nama “Abdullah’ di sisi Allah dan nama-nama lain yang dinamakan kepada kita, tetapi apabila mati kita akan digelar dengan nama-nama yang baik seperti Saifullah namun tidak kurang juga yang dinamakan nama yang tidak baik di sisi Allah bergantung kepada amalan kita didunia dan cara kita menghadapi ujian yang menimpa.
Kemudian yang kelima ujian itu datang kepada kita sebagai penghapusan dosa-dosa kita. Dalam mengharungi kehidupan ini adakalanya kita berbuat sesuatu kesalahan dan dosa baik yang tidak kita sedari mahupun yang disengajakan dan kadangkala kita tidak memohon ampun kepada Allah SWT. Mungkin dalam mencari rezeki, ada terambil harta yang tidak jelas sumbernya dan jalan perbelanjaannya. Maka ujian diturunkan bagi menyucikan seseorang itu dari dosa dan kesalahannya dengan kesabaran dan kepayahan yang datang dari ujian itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang mukmin yang rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya” (Hadis riwayat Bukhari). Sesungguhnya pengampunan Allah itu sangat besar dan ketika dilanda ujianlah kita akan banyak mengingati Allah dan mengharapkan pengampunan dengan sebenar-benarnya. Ini adalah keutamaan yang besar daripada Allah s.w.t kerana dengan ujian yang dideritai seorang Muslim, dosa yang pernah dilakukannya terhapus kerana penderitaannya menjadi kifarah (penebus) dosanya. Jadi dengan bersabar dan redha akan membawa kepada ketenangan.
Seterusnya yang keenam tentang bagaimana seharusnya melihat ujian yang melanda adalah  dengan mengetahui Allah hendak  memberi pahala percuma kepada mereka yg ditimpa ujian. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, maka dia (diuji) dengan suatu musibah. “(Hadis riwayat Bukhari).
Hal ini kerana di dalam syurga ada darjat tertentu yang harus dicapai, apabila seorang Muslim tidak mampu mencapainya dengan suatu amal, maka dia pasti dapat memperoleh darjat itu dengan musibah atau penyakit yang dideritai. Selain itu adakalanya ibadat yang kita laksanakan mungkin kurang sempurna justeru pahala sabar ujian itu akan membantu menyelamatkan kita di akhirat nanti.
Pahala percuma juga bukan sahaja diperoleh kepada mereka yang menghadapi ujian malah akan turut dikurniakan kepada kepada mereka yang memberikan bantuan kepada mangsa bencana. Mereka yang membantu hamba Allah yang sedang dalam ujian itu perlu menyedari bahawa Allah SWT lah yang memberikan kesempatan dan menggerakkan hati untuk melakukan kebaikan. Maka sebutlah Alhamdulillah selepas memberi bantuan kerana semua kudrat dan bantuan itu adalah rezeki dengan izinNya.

Yang terakhir dalam perkongsian kali ini adalah; adakalanya walaupun ujian itu memang dilihat seperti bala, tetapi itu bukan perkara yang utama. Renungilah ujian itu sebagai tanda masa untuk kita memuhasabah diri dan memperbetulkan diri. tidak semua ujian itu bala. Berhati-hatilah agar tidak menjatuhkan hukuman kerana kita tidak layak untuk mengukur bahawa setiap ujian itu bala. Bahkan memperbanyakkanlah syukur atas setiap ujian kerana Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih terhadap hamba-hambaNya dan pasti akan memberikan hanya tang terbaik untuk setiap makhluk ciptaanNya didunia dan akhirat.
Tahniah kepada yang membantu mereka yang dilanda ujian dan bersabarlah dan redhalah kepada mereka yang ditimpa ujian. Ingatlah bahawa ujian itu sebagai tanda kasih Allah kepada seseorang dan Setinggi-tinggi ujian ialah ujian utk para Nabi yang menjadikan ujian itu sebab kita semakin hampir kepada Allah SWT.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Januari 2015

No comments:

Post a Comment