Tuesday 26 April 2016

Keengganan Dalam Memberi

Usah malu memberikan sedikit, kerana pemberian sedemikian lebih baik daripada tidak memberi sama sekali. Rasa sukar untuk menghulur pasti ada, tapi getar rasa itu pasti ada penawarnya. Itu antara perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi Rabu lalu menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran jam 10.15 pagi mengenai kesukaran dalam memberi yang mampu ditangani.
Sesungguhnya orang memberi kerana di dalam hati punya kasih sayang dan secara tidak langsung melambangkan iman yang dikendong. Apabila sukar memberi bermakna kasih sayang sudah pudar dan kasih sayang yang tercatu itu petunjuk kepada rapuhnya iman. Moga dengan perkongsian minggu ini akan mengakrabkan lagi hubungan dengan Allah melalui iman serta meningkatkan intim sesama manusia dengan kasih sayang seterusnya menyumbang kepada penyuburan sikap memberi itu sendiri.

Antara sebab terhakisnya sikap ingin memberi adalah berperasangka pemberian akan di manipulasi atau disalahgunakan. Malah lebih dari itu, wujud kebimbangan pemberian tidak menepati sasaran yang sebenar. Khuatir harta atau ilmu yang diberi akan ‘makan tuan’ jika sampai pada tangan yang tidak sepatutnya. Tetapi alangkah indah jika bisa di hayati hadis Rasulullah SAW berkenaan kisah seorang lelaki yang tersalah bersedekah kepada pencuri, penzina dan orang kaya yang disangkannya mereka itu ialah orang miskin.
Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Seorang lelaki berkata: Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan pencuri. Maka pada paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata: Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu berkata: Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah, saya akan sedekahkan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan wanita penzina. Pada pagi hari itu orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata: Telah diberikan sedekah kepada wanita penzina. Orang tersebut berkata: Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah saya akan memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu orang ramai memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata: Telah diberikan sedekah kepada orang kaya. Orang itu berkata: Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si penzina dan terhadap si kaya.
Kemudian datanglah seseorang kepadanya dalam tidurnya lalu berkata kepadanya: Sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya dan bertaubat daripada mencuri, manakala kepada wanita penzina mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada berzina serta bertaubat atas perbuatan kejinya itu apabila melihat tanpa melacur pun Allah SWT memberi rezeki kepadanya maka dia merasa malu sementara sedekah kepada orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil pengajaran bahawa ada hamba-hamba Allah yang bersedekah secara bersembunyi lalu menafkahkan sebahagian harta yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ke jalanNya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibrah daripada kisah tersebut adalah kesilapan dalam memberi terkadang menjadi asbab Allah ingin mendidik si penerima. Sesungguhnya, sedekah itu bukan sahaja di nilai oleh Allah, malah menjadi penyebab untuk seseorang menerima didikan langsung daripadaNya. Percayalah dalam memberi kebaikan tidak akan berlaku kesilapan, yang tersalah hanya hati apabila tidak ikhlas. Sekiranya keikhlasan beserta dalam pemberian untuk meraih reda, rahmat dan keampunan daripada Allah SWT nescaya kesilapan memberi, tersalah sasaran tidak akan melahirkan sekelumit sesal kerana tahu dan faham itu cara Allah mendidik hamba-hambaNya melalui hamba-hambaNya yang lain.
Namun begitu, sikap berhati-hati dan teliti perlu ada memandangkan dunia hari ini pelbagai pihak bijak mengambil kesempatan contohnya menerusi sindiket terancang yang bergerak bukan sekadar secara individu malah berkumpulan. Oleh itu, jika telah diselidik dengan ilmu dan informasi yang diperolehi tetapi masih juga tertipu, percayalah pemberian itu telah diterima oleh Allah SWT. Sedekah yang diberikan dengan niat yang baik akan diterima Allah walaupun tidak jatuh kepada orang yang selayaknya menerima kerana bukan hasil yang dilihat tetapi usaha dan amalan untuk melakukan itu yang menjadi perkiraan sepertimana firmanNya “dan bahawasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).” (Surah An-Najm, ayat 40).
Ada kalanya timbul pula perasaan tidak adil dalam diri si pemberi kerana merasakan diri sendiri yang berusaha, membanting tulang, memerah fikiran dan mengorbankan masa tetapi hasilnya diberikan pada orang lain yang sewenangnya merasa. Terkadang bersangka buruk dan bertanggapan kemiskinan dan kesukaran hidup seseorang disebabkan sikap pemalas. Pandangan seumpama itu tidak tepat sebenarnya. Sesungguhnya segala keringat, kudrat dan usaha yang kita curahkan sebenarnya milik Allah SWT yang diamanahkan. Kemudian Allah memerintahkan supaya dikongsikan kepada yang hak sepertimana firmanNya bermaksud “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (Surah al-Ma’aarij, Ayat: 23 dan 24).‏
Hakikatnya si pemberi tidak memberi, tetapi memulangkan hak kepada individu yang sepatutnya dan lebih berhak terhadap harta itu. Allah memberi untuk diberi kepada yang lain. Kita berusaha bukan sekadar memenuhi kehendak dan keperluan sendiri tetapi juga untuk memenuhi tuntutan insan lain yang lebih berhak menikmati hasil usaha pinjaman daripada Allah SWT itu sebagaimana firmanNya bermaksud “Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi…” (Surah Al-Baqarah, ayat 284)
Dalam litar kehidupan, perbuatan baik semestinya mengundang perasaan untuk dibalas dengan kebaikan dan di situlah Allah dorong hati orang lain untuk datang membantu. Takdir Allah sentiasa diluar tebakan hambaNya, tetapi yang pasti setiap kebaikan akan diganjari kebaikan juga secara langsung mahupun tidak langsung. Justeru, sabar dan ikhlaslah dalam memberi.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Januari 2015

No comments:

Post a Comment