Monday 25 April 2016

Lurus Hati, Lurus Imannya

Apakah yang menjadi punca kepada hati seseorang yang sentiasa tidak jujur? Dari Anas r.a. meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, Tidak lurus iman seseorang hamba itu sehingga lurus (lebih dahulu) hatinyaDan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya. Yang menjadi punca kepada hati seseorang yang tidak lurus adalah daripada lidahnya. Ustazah Norhafizah Musa mengajak para pendengar supaya bermuhasabah diri dengan sentiasa bersikap jujur.
Setiap orang sama ada sedar atau tidak mungkin ada masanya tidak bercakap benar. Jadi bagaimanakah untuk kita meluruskan lidah untuk sentiasa bercakap benar? Rasulullah s.aw. menjelaskan perkara ini di dalam sebuah hadith yang bermaksud, Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a., daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Apabila anak Adam memasuki waktu pagi, maka sesungguhnya setiap anggota tubuhnya tunduk kepada lidah, seraya berkata, “Bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya kami bergantung kepadamu. Jika kamu lurus maka kami pun lurus. Jika kamu bengkok maka kami pun bengkok.”(Hadith Riwayat At-Tirmizi)
Ustazah Norhafizah Musa mengambil contoh tingkah laku dan perbuatan buruk yang kita lakukan selama ini sentiasa ditutup oleh lidah. Kita melakukan kesalahan dengan mengambil hak orang lain dan apabila ditanya, kita berbohong mengatakan tidak. Ini bermaksud tangan yang melakukan kesalahan dan lidah telah menutup kesalahan tersebut. Selama mana tangan kita tidak lurus, menjadikannya juga sukar bagi lidah untuk lurus.

Tidak dinafikan setiap manusia itu ingin berubah ke arah kebaikan, namun kenapa begitu sukar untuk seseorang itu berubah? Keadaan ini adalah kerana diri sudah terbiasa diselamatkan oleh lidah atas perbuatan yang tidak lurus. Ianya telah menjadi sebati dan sentiasa berasa selamat dengan berselindung di sebalik lidah yang tidak lurus. Akan tetapi, lidah yang tidak lurus tidak sekali-kali tidak akan selamat di akhirat kelak.
Setiap kali kita melakukan kesalahan dan setiap kali jugalah kita berselindung dengan lidah yang tidak lurus, maka kita lebih menjauhkan diri dari kebaikan. Bagaimana untuk kita berubah sekiranya lidah sentiasa tidak lurus. Dengan bercakap benar mungkin akan membuatkan kita ditegur atau dimarahi tetapi itu adalah sebagai satu desakan untuk seseorang itu berubah ke arah kebaikan dan kejujuran. Apabila kita dimarahi dengan memberitahu perkara yang benar, maka kita tidak akan mengulangi perkara yang sama dan akhirnya kita akan berubah sedikit demi sedikit. Adakalanya lidah yang lurus dengan mengakui kesilapan menyebabkan seseorang itu dimarahi atau dipandang serong tetapi ia juga menjadi pemangkin untuk seseorang itu berubah ke arah kebaikan.
Menurut Imam Syafi’e, terdapat empat perkara yang menjadikan wajah seseorang itu kelihatan kusam atau tidak berseri, iaitu lidah yang berbohong, orang yang sedikit rasa malu, orang yang suka membuat dosa dan orang suka bertanya melulu yang hanya menunjukkan kebodohan yang amat sangat.
Bagaimanakah cara untuk seseorang itu menjadi orang yang jujur? Ustazah Norhafizah Musa menganjurkan para pendengar memupuk suasana yang baik bermula dari rumah. Rumah adalah institusi kekeluargaan dan pembelajaran yang terbaik bermula dari ibu dan bapa sendiri. Peranan ibu bapa adalah mendidik anak-anak untuk sentiasa bercakap benar dan mewujudkan persekitaran yang baik dan harmoni. Dengan cara ini orang di sekeliling juga akan mula bercakap benar dan akhirnya membentuk suasana yang menjiwai kejujuran. Namun tidak dinafikan cabaran membentuk lidah menjadi lurus bukanlah satu perkara yang mudah.
Seterusnya Ustazah Norhafizah menyarankan para pendengar sentiasa menghargai kejujuran seseorang. Dengan ini, bukan sahaja anak-anak, pasangan, orang yang rapat dengan diri kita, malah masyarakat juga akan terbina untuk menjadi orang jujur. Akan tetapi malangnya yang berlaku di sekeliling kita ialah kita menghukum mereka yang telah bercakap jujur. Setiap manusia melakukan kesilapan dan mengakui kesilapan itu adalah satu perkara yang amat berat untuk dilakukan. Maka, hargailah mereka yang bercakap jujur walaupun ia melibatkan kesilapan atau kesalahan. Namun, sekiranya seseorang yang bercakap jujur itu dimarahi dan diherdik, maka mereka akan kembali bercakap bohong bagi menutup kesilapan yang dilakukan dan akhirnya tidak ada jalan untuk keluar lagi melainkan dengan berbohong.
Ustazah Norhafizah juga menyentuh aspek kerukunan jiran tetangga yang sentiasa berbohong sehingga menyebabkan keretakan hubungan. Sekiranya sikap berbohong itu telah meretakkan hubungan sesama jiran tetangga, maka sebagai jiran adalah patut untuk kita menyelidik dan menjelaskan perkara sebenar yang telah berlaku supaya hubungan dapat diperbaiki kembali. Dengan mengambil jalan berdiam diri akan memburukkan lagi keadaan dan berkemungkinan besar boleh memutuskan hubungan silaturahim sesama jiran.
Bagi menguatkan lagi semangat dan iman kita untuk berubah, Ustazah Norhafizah menyarankan supaya kita meletakkan diri kita sebagai orang yang ditipu. Adakah kita akan berasa gembira atau sedih apabila mengetahui diri telah ditipu? Sudah pasti kita tidak akan berasa gembira dan begitu jugalah dengan orang lain, sudah pasti tidak mahu ditipu. Maka dengan ini kita akan lebih mencuba untuk tidak bercakap bohong dan sentiasa meluruskan lidah dalam apa jua keadaan sekalipun.
Seseorang yang bercakap bohong diibaratkan seperti seseorang yang bercakap mengeluarkan bau yang sangat busuk sehinggakan tidak ada seorangpun yang sanggup berada di hadapannya untuk mendengar kata-katanya itu. Sepertimana hadith yang bermaksud, Apabila seseorang hamba berdusta dengan satu pendustaan, maka malaikat akan melarikan diri daripadanya sejauh sebatu lantaran bau busuk pendustaannya itu.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi       15 Januari 2015

No comments:

Post a Comment