Monday 12 January 2015

Kualiti Menentukan Kejayaan Tentera Talut

Sewaktu melihat lembaran kisah yang membicarakan perjalanan hidup seorang Nabi dan Rasul, kita akan merenung sejauhmana ruang sejarah ini mampu menjadi ibrah kepada kita sendiri. Begitulah tafsiran yang diterjemahkan oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah di IKIMfm yang bersiaran setiap Isnin, 5.15 petang.
Pada minggu lalu, kita telah berbicara berkenaan ‘Kelebihan Talut dipilih jadi raja’. Justeru, kita telah mendapati bahawa Allah juga yang memilih hambanya untuk mentadbir dan memimpin satu generasi Bani Israel yang tentunya penuh dengan tipu muslihat dan helah, namun berjaya atas dasar kekuatan yang hadir bukan semata-mata datang dari diri seorang Nabi itu, tetapi hadir melalui kualiti yang dijanjikan Allah swt.

Minggu ini, satu perincian akhir dikupas melalui cerita kualiti tentera Talut apabila merentas satu sungai dari Jordan ke bumi Palestin. Ini dikisahkan melalui Surah al-Baqarah ayat 249 yang bermaksud, “Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah dia (Talut): “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”.
Talut telah memerintahkan pengikutnya untuk menyeberangi sungai dan menganggap bahawa sungai adalah satu daripada ujian yang harus ditempuhi. Walau bagaimanapun, mereka tidak mempedulikan perintah Talut malah sebahagian ulama ada menyebut daripada 80 ribu jumlah tentera yang ikut berperang hanya 4,000 orang sahaja yang tidak minum.
Allah berfirman lagi, “(Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka.”
Alangkah hilangnya sebahagian besar nilai kuantiti tentera Talut yang akan berhadapan dengan tentera Jalut nanti, namun Talut terus mara dengan bilangan yang ada walaupun sedikit.
Dalam ayat yang sama, Allah berfirman, “Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.
Ibnu Abbas mengatakan bahawa sungai yang diseberangi oleh tentera Talut adalah sungai Jordan. Dalam perihal membicarakan ayat ini, Allah Taala sedang menguji hambanya dengan ujian air semata-mata.
Analogi yang mudah, seperti dalam bulan Ramadan, Allah menguji hambanya untuk berlapar dan tidak makan serta minum. Justeru, larangan kecil ini menjadi petanda bahawa kumpulan tentera ini jugalah yang akan terkandas sewaktu berhadapan dengan tentera Jalut nanti. Justeru, Talut terus bersama-sama tenteranya yang masih lagi taat dan yakin menemui Allah untuk mencipta kejayaan mereka.
Dalam satu riwayat, Imam bukhari berkata, tentera Talut berjumlah 313 orang sebagaimana bilangan tentera dalam peperangan Badar.
Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 250, “Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”
Ulama mentafsirkan perkataan ‘limpahkanlah sabar kepada kami’ dengan merujuk bahawa tentera Talut bukan sekadar berdoa minta sabar, tetapi mohon Allah jadikan mereka orang yang sabar ibarat menuangkan dan penuhkan kesabaran ke atas mereka sehingga melimpah dalam hati mereka.
Kemudian, apabila tentera Talut yang terus beriman kepada Allah serta mengikut ajarannya, Allah telah memberikan kemenangan kepada mereka dengan tumpasnya ketua mereka di atas tangan seorang remaja yang bernama Nabi Daud.
Allah berfirman, “Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.” (Surah al-Baqarah 251)
Ulama mengatakan bahawa Nabi Daud pada waktu itu merupakan seorang anak kecil (remaja), dan hanya menggunakan batu (balingan) sahaja, ketua tentera mereka (Jalut) telah ditumbangkan dengan kekuatan keimanan seorang anak muda.
Dalam memahami peristiwa ini, hakikatnya kuantiti tidak menentukan kemenangan tetapi kualiti yang penting. Malah, sikap manusia yang berhadapan dengan sesuatu ujian itu sebenarnya dikuasa dengan dua keadaaan iaitu sama ada mereka menganggap bahawa setiap ujian itu adalah musibah ataupun merupakan takdir (ada hikmah sesuatu) yang diberikan oleh Allah Taala.
Sepertimana hari ini, ramai orang berbicara tentang Palestin tetapi ramai yang memperjuangkan bumi Palestin mengikut musim dan keadaan yang berlaku.
Justeru, biarpun Talut mara menentang dengan kekuatan sejumlah bilangan yang amat kecil, tetapi kualiti iman pengikutnya merupakan khazanah yang paling berharga.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Disember 2014

No comments:

Post a Comment