“Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ku akan memohon
Tuhan tolong panjangkan umurku…”
Lirik yang acapkali ke udara di tetuang
suara IKIMfm menjadi tema perkongsian minggu lalu menerusi Islam Itu
Indah perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi membawa peringatan bahawa
kematian itu pasti tapi waktunya masih misteri. Menjentik hati cukupkah
amal buat bekal di alam yang kekal? Sudahkah nikmat di guna untuk taat
dalam mengecap hidup yang berkat?
Ujian datang silih berganti selagi belum
tiba yang bernama ‘mati’. Seiring musibah, datangnya bersama hikmah.
Sememangnya ujian itu pahit, terimalah dengan jiwa pasrah beserta hati
yang berpegang teguh dengan tauhid. Pesan Ustaz Pahrol lagi, hakikat
sebenar musibah apabila kita jauh daripada Allah SWT, Allah bawa kita
kembali dekat denganNya untuk meraih jannah dengan memudarkan sombong,
pemarah, hasad, cinta dunia. Sifat mazmumah akan ditekan dengan ingatan
kepada kematian yang merupakan pemutus kepada kelazatan dunia.
Musibah juga adalah saluran untuk
merintih dan munajat pada Allah SWT ketika kita leka padaNya. Suatu
paksaan untuk dekat denganNya. Dan hikmah terbaik di balik musibah
adalah lahirnya manusia yang bijaksana dengan menginggati mati dan
membuat persiapan untuk kehidupan selepas mati.
Jelas ajal tidak ditangguh kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 34 mafhumnya, “Maka apabila ajal sudah datang, mereka tidak dapat menangguhnya (walaupun) satu detik dan tidak juga dapat mendahulukannya.”
Firman-Nya lagi dalam surah al-Munafiqun ayat 11 mafhumnya “Allah tidak akan menangguh kematian sesuatu yang bernyawa (sama ada manusia atau lainnya) apabila ajalnya sampai”.
Bertuah bagi manusia yang terpilih untuk
mengetahui waktu kematiannya seperti berpenyakit kronik, menerima
hukuman mati dan sebagainya kerana mereka boleh membuat persiapan dan
persediaan sebaiknya. Berkemungkinan juga tempoh masa yang diperuntukan
lebih pendek di sisi ketetapan tuhan Yang Maha Berkuasa. Usia
sememangnya ketentuan tuhan yang dirahsiakan tetapi masih ada usaha dari
kita untuk panjangkan usia kita. Panjangkan usia dengan memanjangkan
kuantiti masa pada usia, usahakan juga untuk memanjangkan kualiti usia
dan panjangkan amal jariah dengan malan yang terus hidup walaupun kita
telah tiada.
Dengan bermodalkan harta, ilmu, akhlak,
keperibadian, agama, tenaga dan masa; usia mampu dipanjangkan. ‘Panjang
umur’ bermaksud kekalnya sebutan dan pujian yang baik selepas kematian
seseorang seolah-olah dia masih hidup.
Jika perhatikan dalam beberapa
keterangan nabi SAW, umur boleh panjang dengan sebab doa, silaturrahim,
berbuat baik dengan ibu bapa, jiran tetangga dan juga semua jenis amal
kebajikan. Antaranya ialah berkaitan silaturrahim seperti yang
diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa dia mendengar nabi SAW
bersabda mafhumnya “Barangsiapa yang suka dibentangkan baginya rezekinya dan dilewatkan ajalnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.” (Riwayat al-Bukhari).
Kualiti usia boleh diperolehi menerusi
amalan solat secara berjamaah sepertimana sabda Rasullullah SAW daripada
Abdullah bin Umar RA mafhumnya, “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.”. Itu
yang membezakan kualiti umur hamba Allah berusia 40 tahun yang
menghabiskan usianya dengan solat bersendirian dengan hamba Allah yang
berusia 20 tahun yang istiqomah menunaikan solat secara berjamaah.
Selain itu, dengan solat berjamaah di masjid setiap langkah menuju ke
masjid meningkatkan darjat dan langkah pulang dari masjid akan
menghapuskan dosa. Diriwayatkan daripada Muslim daripada Uthman bin
Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Barang siapa
yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah
malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah
melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim). Bertambah hebat jika di sulami solat sunat di rumah sebelum melangkah ke masjid.
Petua panjang usia juga dengan
panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa di samping mengamalkan
adab-adab dalam islam. Siapa tidak kenal Imam Nawawi, pendek umurnya
tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazali tidak
sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya
melangkaui dekad dan abad. Contoh lain Umar ibn Aziz memerintah hanya
kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah
Umayyah sebelum dan selepasnya. Itu pencen kubur, saham akhirat;
walaupun jasad sudah tiada namun amalan masih hidup dan berterusan.
Beruntunglah pada mereka yang bergelar
guru, pendidik mahupun murabbi kerana mereka adalah lagesi penyambung
tugas Rasullullah SAW. Mereka peroleh kebaikan ilmu yang dimanfaatkan,
doa anak soleh dan amal jariah yang berpanjangan yang datang sebagai
pakej bersama anak didik yang diberinya tunjuk ajar.
Selain itu, rahsia kejayaan orang-orang
yang ‘panjang’ umur adalah dengan banyaknya bersedekah. Mereka tahu
tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap
tindakan. Sesungguhnya dunia akan sentiasa menyediakan jalan kepada
orang seumpama ini. Harta yang dimiliki usah disimpan, dan harta yang
salurkan ke jalan Allah SWT berupa sedekah juga berupaya melipat
gandakan usaha amalan. Harta yang menjadi milik sebenar kita adalah
yang dikeluarkan di jalan Allah dan harta yang disimpan itu milik orang
lain selepas ketiadaan kita.
Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda
bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini
terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari ‘Adi bin Hatim r.a.
kata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang sanggup mendinding
dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah
kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). Bersedekahlah walau hanya sebelah kurma kerana ia lebih bernilai dari bergedung-gedung harta.
Umar Ibn Aziz yang pernah mengungkapkan,
“mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi
iaitu alam akhirat. Manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup
selepas mati itulah hidup yang hakiki!” Justru, Hidupkanlah hidup selagi
hidup sebelum mati menjemput kita.
Sesungguhnya mati itu tidak diketahui
tapi pasti. Kematian akan melenyapkan seluruh kenikmatan, bersiap
sedialah menghadapi kematian yang pasti akan hadir. Biarlah ‘kematian’
itu hidup dalam diri kita kerana ingat mati akan ‘menghidupkan’ kita.
Orang yang ingat mati akan menyegerakan
taubat sebelum terlambat. Saya akhirkan inti pati perkongsian Islam Itu
Indah dengan lirik akhir lagu di awal penulisan tadi.
“Ampuni aku,
Dari segala dosa-dosaku,
Ampuni aku,
Menangisku bertobat padamu.”
- Andaiku tahu – Ungu
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian
edisi 3 September 2014
No comments:
Post a Comment