Monday, 12 January 2015

Kualiti Menentukan Kejayaan Tentera Talut

Sewaktu melihat lembaran kisah yang membicarakan perjalanan hidup seorang Nabi dan Rasul, kita akan merenung sejauhmana ruang sejarah ini mampu menjadi ibrah kepada kita sendiri. Begitulah tafsiran yang diterjemahkan oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah di IKIMfm yang bersiaran setiap Isnin, 5.15 petang.
Pada minggu lalu, kita telah berbicara berkenaan ‘Kelebihan Talut dipilih jadi raja’. Justeru, kita telah mendapati bahawa Allah juga yang memilih hambanya untuk mentadbir dan memimpin satu generasi Bani Israel yang tentunya penuh dengan tipu muslihat dan helah, namun berjaya atas dasar kekuatan yang hadir bukan semata-mata datang dari diri seorang Nabi itu, tetapi hadir melalui kualiti yang dijanjikan Allah swt.

Panduan Menghadapi Stress

Usrati minggu ini menyambung kembali tajuk ini untuk bahagian dua bersama Ustazah Nor Hafizah binti Musa, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia. Rancangan ini ke udara setiap Khamis pukul 5.15 petang. Sesiapa yang tidak pernah merasa stress dia dikira tidak normal. Adalah normal bagi seseorang manusia seperti kita merasa stress, cuma jangan sampai stress itu terlalu besar sehiugga kita jatuh sakit. Ustazh Norhafizah memberikan beberapa panduan bagi mengelakkan stress. Pertama memberi kemaafan, keduanya sabar yang cantik dan ketiga memberi kata-kata yang manis.
Ramai orang ketika kemarahan memuncak agak sukar untuk bersabar. Apakah yang dimaksudkan sabar yang cantik? Sabar yang cantik ialah sabar yang tidak disertakan dengan rungutan atau kata-kata yang kesat atau menyakitkan. Ramai orang kata bahawa dia sabar, tapi pada hakikatnya tidak sabar. Dan kalau ada pun sabar, mulut saja yang cakap sabar tapi hati merungut. Dalam hati macam-macam yang kita katakan. Setelah kata-kata kesat atau segala macam rungutan barulah kita dapat untuk jadi sabar.

Rahsia Meninggalkan Perkara Haram

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan Yang Maha Pengasih yang memerintahkan hamba-hambaNya untuk mencari rezeki yang halal lagi berkat di dalamnya. Junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga amat menekan kepentingan mencari rezeki yang halal sesudah menunaikan ibadah yang fardu. Hal ini, menggambarkan kepada kita bahawa rezeki yang halal bukan sahaja baik daripada pandangan Islam. Malah rezeki yang halal juga akan mempengaruhi peribadi seseorang.
Rezeki haram yang kita peroleh dan gunakan untuk diri kita, isteri serta anak-anak akan mengakibatkan cenderung untuk melakukan kejahatan dan penderhakaan. Justeru itulah pentingkanya mencari rezeki yang halal bagi kebaikan di dunia yang menghadirkan ketenangan jiwa dan akhlak malah keselamatan dari azab di akhirat.

Sifat Tawadhuk

Menurut takrif kamus Bahasa Melayu, tawaduk membawa pengertian rendah diri, tidak angkuh dan patuh. Bukan perkara yang mudah untuk memandang ke bawah kala berada di atas dengan penuh rasa patuh dan taat selaku hamba. Usrah Nurani yang bersiaran setiap Jumaat jam 5.15 petang berkongsikan ilmu memupuk sifat tawaduk bersama Ustaz Basir Bin Mohamed.
Allah berfirman mafhumnya, “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah Al-Israa’ ayat 37).
Sejauhmana penjelajahan atau setinggi mana pendakian dengan segala teknologi yang dimiliki tiada satu pun yang membuktikan semua sudut di atas muka bumi ini telah dicapai, telah diketahui dan telah dirungkai segala-galanya. Menerusi kebijaksanaan Allah SWT, memdidik kita untuk melihat bumi yang didiami dan diambil manfaat darinya pun masih belum mampu diterjemah dan dikaji setiap satu pun daripada penciptaanNya. Itulah cara terbaik untuk menjaga hati dari sifat lawan bagi tawaduk iaitu takabbur.

Sunday, 16 November 2014

Adab Menuntut Ilmu Melalui Kisah Nabi Musa

TANPA menafikan pelbagai hikmah dan pengajaran melalui kisah Nabi Musa yang panjang diceritakan oleh Allah Taala di dalam al-Quran, kisah Nabi Musa juga tidak hanya berdiri melalui surah Makiyyah semata-mata tetapi merentet melalui surah Madaniyyah.
Begitulah istimewa perbincangan yang dikupas oleh Ustaz Muhamad Syaari Abdul Rahman setiap minggu pada hari Isnin pukul 5.15 petang dalam rancangan Ibrah ini.

Seperti dimaklumi, selain tidak terhimpun di dalam satu surah, malah kisah Nabi Musa ini tidak diturunkan melalui himpunan satu surah yang dinamakan ‘Surah Musa’. Hal keadaan ini berbeza dengan cerita tentang Nabi Yusuf malah satu surah yang dinamakan Surah Yusuf juga terdapat di dalam al-Quran.