Apakah yang menjadi punca kepada hati seseorang yang sentiasa tidak jujur? Dari Anas r.a. meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, Tidak lurus iman seseorang hamba itu sehingga lurus (lebih dahulu) hatinya. Dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya. Yang menjadi punca kepada hati seseorang yang tidak lurus adalah daripada lidahnya. Ustazah Norhafizah Musa mengajak para pendengar supaya bermuhasabah diri dengan sentiasa bersikap jujur.
Setiap orang sama ada sedar atau tidak mungkin ada masanya tidak bercakap benar. Jadi bagaimanakah untuk kita meluruskan lidah untuk sentiasa bercakap benar? Rasulullah s.aw. menjelaskan perkara ini di dalam sebuah hadith yang bermaksud, Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a., daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Apabila anak Adam memasuki waktu pagi, maka sesungguhnya setiap anggota tubuhnya tunduk kepada lidah, seraya berkata, “Bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya kami bergantung kepadamu. Jika kamu lurus maka kami pun lurus. Jika kamu bengkok maka kami pun bengkok.”(Hadith Riwayat At-Tirmizi)
Ustazah Norhafizah Musa mengambil contoh tingkah laku dan perbuatan buruk yang kita lakukan selama ini sentiasa ditutup oleh lidah. Kita melakukan kesalahan dengan mengambil hak orang lain dan apabila ditanya, kita berbohong mengatakan tidak. Ini bermaksud tangan yang melakukan kesalahan dan lidah telah menutup kesalahan tersebut. Selama mana tangan kita tidak lurus, menjadikannya juga sukar bagi lidah untuk lurus.